Tips Persediaan Berpantang. Siapkan Sebelum Anda Bersalin.

checklist bahan berpantang

 

Pernahkah anda terfikir, sebenarnya sebelum anda berpantang, bagaimana anda perlu membeli barang keperluan harian sepanjang anda berpantang?.  Tidak kira sama ada anda berpantang sendiri atau pun berpantang di rumah ibu/ibu mertua.  Jika melihat dari segi tanggungjawabnya sudah tentu setiap keperluan makan minum ibu berpantang perlu disediakan sendiri.  Bukan penjaga berpantang.

 

Bersedia awal mengelakkan anda terpaksa keluar ke pasaraya dengan berkain batik, mengendong bayi kecil yang masih belum matang untuk menerima segala jenis jangkitan kuman di persekitaran.  Juga, perlu disedari bahawa, persediaan berpantang bukan sahaja bermaksud membeli pakaian bayi, keperluan ubat dan suplemen, bahan bertungku bertangas dan seumpamanya.  Tetapi juga meliputi pemakanan seharian anda.

 

Barang kering seperti cili kering, lada hitam hinggalah kepada sayuran, ikan, dan halia. Sedar atau baru terfikir?. Jika suami yang akan membelinya sepanjang anda berpantang, sangat elok sebenarnya anda siapkan senarai semak supaya memudahkan pihak suami dan tidak memening anda pihak yang sedang berpantang.  Barang kering yang boleh tahan sehingga tamat berpantang boleh sahaja dibeli dan disiapkan sebelum anda bersalin.  Simpan dengan baik supaya ia tahan lama.

 

La Mamma berkongsi senarai semak barang dapur yang anda boleh gunakan untuk persediaan berpantang.

 

BAHAN KERING YANG BOLEH DIBELI DAN DISIMPAN RAPI SEHINGGAN TAMAT BERPANTANG.

  • Lada hitam sepeket besar
  • Lada putih sepeket besar
  • Kayu manis 1 paket
  • Cengkih
  • Biji ketumbar
  • Buah pelaga
  • Halba
  • Sup punjut
  • Gula melaka/gula kabung
  • Minyak zaitun
  • Jintan Manis
  • Jintan Putih
  • Bahan air herba dalam pantang dari kedai sensei (kurma merah, biji goji, dong shen, barli, longan kering)
  • Madu
  • Air zam zam

 

BARANG BASAH YANG BOLEH DISEDIAKAN HAMPIR DENGAN TARIKH BERSALIN

 

Bahan basah ini boleh tahan lama jika disimpan dengan elok.  Jika tidak, boleh saja serahkan senarai ini pada suami untuk dibeli.

  • Halia muda/tua
  • Kunyit hidup
  • Lengkuas
  • Serai
  • Daun lengkuas
  • Daun mengkudu
  • Daun sireh
  • Serai wangi
  • Daun jambu

 

Bahan basah harian lain seperti ikan dan sayur-sayuran boleh dibeli ikut perancangan menu.  Perkara ini sememangnya perlu dibincangkan bersama suami.  Kemungkinan jika berpantang sendiri, suami yang akan memasak untuk ibu berpantang.  Jadi persetujuaan pihak suami diperlukan.

 

Daripada menu yang dibincangkan, boleh buatkan senarai semak bahan basah.  Sebagai ingatan, ibu berpantang tidak boleh terlalu memilih makanan jika anda telah membuat keputusan untuk berpantang sendiri suami isteri.  Bersyukur dan berlapang dada.  InsyaAllah tempoh berpantang akan berlalu dengan memberikan momen indah untuk anda sekeluarga. Amin.