Tips Bersalin Dengan Mudah dan Membahagiakan

 

Masuk sahaja trimester ketiga kandungan, ibu mula buat persediaan untuk bersalin.  Bukan sahaja persediaan barangan untuk menyambut bayi baru dan juga barang ibu berpantang, termasuk juga persediaan ilmu ibu untuk melahirkan nanti.  Sekarang segala maklumat di hujung jari.  Buat saja carian di laman sesawang “teknik bersalin”, perlbagai pilihan jawapan yang ibu boleh pilih untuk bacaan.  Target utama, bersalin dengan mudah, tenang, dan membahagiakan. 

 

Ibu yang lebih rajin dan mahukan jawapan yang lebih jitu biasanya akan menghadiri kursus antenatal bersama doktor bertauliah.  Walau yang mana jua cara yang ibu pilih akhirnya akan menuju konklusi yang satu iaitu mahu bersalin mudah, tenang dan jika boleh tiada koyakan dan jahitan.

 

TIPS UNTUK IBU BERSEDIA UNTUK BERSALIN

 

#1 PERSEDIAAN BERSALIN BUKAN PADA HUJUNG KEHAMILAN

 

Ibu patut faham dan sedar sebenarnya persediaan untuk bersalin yang tenang dan menggembirakan bukan bermula waktu trimester akhir, tetapi seawal sebelum mengandung atau paling lewat pun waktu trimester pertama kehamilan.  Pantau berat badan ibu.  Pastikan kurangkan pengambilan makanan manis.

 

Sememangnya menjadi cabaran besar untuk ibu mengawal pemakanan agar makan makanan sihat dan elakkan makanan rapu, tapi percayalah corak pemakanan yang sangat ketat membantu ibu sihat sepanjang kehamilan.  Ini sekaligus memberikan rekod bersih dan cantik di mata perawat.  Badan yang sihat tanpa tekanan darah tinggi, bebas GDM dan Hb terkawal menunjukkan bukti ibu dan kandungan sihat.  Kurang risiko untuk bersalin secara pembedahan.

 

#2 FAHAMI PERINGKAT KELAHIRAN

 

Kadangkala terlalu teruja juga tidak bagus.  Ibu dan ayah akan tergesa-gesa ke hospital dalam keadaan panik.  Akibatnya di tahan atau menerima layanan endah tak endah dari pihak hospital hingga menyebabkan emosi terganggu.

 

Seeloknya pergi apabila anda memang betul-betul mahu bersalin.  Bukan kerana kontraksi tiruan atau anda sebenarnya masih di fasa pertama kelahiran.  Bagaimana mahu mengetahui waktu sepatutnya untuk ke hospital?.  Itulah pentingnya memahami peringkat kelahiran.

 

Ada 3 peringkat kelahiran.

 

  1. Peringkat penguncupan uterus dan pembukaan serviks (6-8 jam)
  2. Peringkat serviks terbuka sepenuhnya dan kelahiran bayi (1-2 jam)
  3. Peringkat kelahiran uri (15 – 30minit)

 

Peringkat di mana ibu akan merasa untuk meneran adalah sewaktu peringkat kedua.  Waktu ini kepala bayi sudah berada di pintu rahim dan bukaan serviks sudah 10 cm.  Sebenarnya badan ibu sendiri akan memberikan gesa untuk meneran apabila tiba masa yang sesuai dan bukan semestinya apabila bukaan mencapai 10 cm.  Kepala bayi berada pada posisi yang memberikan gesa untuk meneran dan juga tisu berkaitan meregang mengikut masanya tersendiri. Pada waktu ini, ibu akan berasa panas pada di sekitar labia dan perenium atau dinamakan juga ‘ring of fire’.

 

Sememangnya pada waktu ini ibu tidak perasan keadaan semasa yang sedang berlaku.  Itulah tujuannya bidan ada atau suami yang berilmu hadir untuk memberikan ingatan kepada ibu.  Teran bayi apabila masanya sesuai.

 

# SUAMI BERILMU

 

Perkara ini selalu berlaku.  Tipikal ibu akan usaha sungguh-sungguh gali ilmu tentang bersalin. Mestilah sebab badan sendiri hendak bersalin.  Tetapi si ayah tidak ambil peranan.  Anggapannya bukan aku yang mahu bersalin.  Ibu yang mahu bersalin biarlah dia yang belajar macam mana caranya.  Silap!.

 

Bila sudah sakit, tidak ramai yang akan sedar dan ingat keadaan sekeliling.  Apatah lagi segala nota dan catatan yang ibu baca atau semasa hadir kelas seorang diri dahulu.  Semuanya kabur.  Yang ibu tahu kesakitan dan mahu keluarkan anak yang dikandung.  Tidak ramai yang dapat paraktiskan apa yang dipelajarinya di bilik bersalin.  Inilah peranan si ayah yang menjadi peneman bersalin.  Bukan sekadar panik atau tersenyum di sisi isteri dengan ucapan “sabar, sabar”, atau “teran yang, teran”.  Bukan.

 

Si ayah yang ada ilmu tentang bersalin akan ingatkan si ibu fasa-fasa bersalin.  Ingatkan ibu cara bernafas dengan betul.  Bantu kedudukan ibu yang sesuai dengan posisi bersalin.  Berkomunikasi dengan bidan dan ingatkan ‘birth plan’ yang telah dirancang bersama ibu.  Lebih hebat lagi bila si ayah tahu bagaimana mahu menyambut sendiri anaknya.

 

Indah sebenarnya proses melahirkan anak kecil yang dikandung ibu selama 9 bulan 10 hari.  Walau pun ibu yang mengandungkannya, ia adalah hasil kerjasama ibu dan ayah.  Bukan ibu sahaja. Walau pun ibu yang mengambil peranan membuat pemeriksaan bulanan selama mengandung, tetapi kesihatan ibu dan kandungannya adalah tanggungjawab si ayah juga. Tidak sepatutnya si ayah berlepas tangan dengan alasan itu badan isteri, bukan badan saya.  Bukankah anak itu anak anda bersama?.  Berikan galakan pada isteri. Isteri juga libatkan suami dalam perbincangan, kongsi nota, ajak hadir ke kelas antenatal dan penyusuan bersama-sama.

 

Ambillah peranan masing-masing.  Proses  bersalin akan menjadi momen indah, membahagiakan dan bermakna yang bakal dikenang sepanjang hayat.