Overdue Tapi Tiada Tanda Lagi. Macam Mana?

 

Dup dap dup dap hati ibu hamil menunggu tarikh bersalin.  Makin dekat makin berdebar.  Kalau sudah tiba masa tapi masih lagi belum rasa apa-apa tanda hendak bersalin. Apa seterusnya ibu perlu buat ya?

Sebelum tiba tarikh yang ditetapkan oleh doktor, jangan menggelabah.  Masih ada masa.  Tiba masanya bayi anda akan menjenguk dunia.  Lagi pula tarikh yang di tetapkan doktor adalah anggaran mengikut tarikh akhir anda haid.  Anda tidak tahu tarikh sebenar bila persenyawaan sebenar berlaku.  Jadi, jangan panik.  Usia kehamilan antara 37 hingga 41 minggu adalah normal dan merupakan kehamilan yang sihat.

 

Pada usia kandungan 40 minggu, anda akan diberi tarikh yang baru, biasanya 6-10 hari selepasnya.  Pantauan semakin ketat.  Apabila melangkau usia kandungan 42 minggu, ini dikira tahap kritikan dan doktor biasanya tidak membenarkan ibu bersalin lebih dari usia kandungan ini.

 

APA ANDA PERLU LAKUKAN APABILA MENGHAMPIRI TARIKH BERSALIN?

 

#1 CATAT PERGERAKAN ANAK

 

Ini perkara yang sangat penting.  Penuhkan carta pergerakan bayi di dalam buku pink anda.  Jika anda merasakan sesuatu yang peli seperti bayi anda kurang aktif atau tiada pergerakan, segera bergerak pantas menuju ke hospital untuk buat pemeriksaan.

 

#2 BANYAKKAN SENAMAN

 

Senaman seperti jalan itik, kagel, naik turun tangga membantu proses untuk bersalin.  Otot peranakan ibu lebih kuat dan bersedia untuk bersalin nanti.  Tidak dinafikan badan anda rasa berat dan sudah terasa tidak selesa di bahagian ari-ari. Namun, ibu perlu sentiasa niatkan ia untuk kebaikan ibu dan anak.

 

Awas!. Usah berlebih-lebih juga.  Buat setakat kemampuan dan lebih elok sekiranya ibu lakukan dari awal kehamilan lagi.

 

#3 JANGAN STRESS

 

Stress menyebabkan badan ibu lebih tidak bersedia untuk bersalin.  Rasa takut lebih-lebih lagi.  Proses bersalin berkaitan dengan turun naik hormon.  Ibu perlu relaks dan badan dengan sendirinya menghasilkan hormon endorphin yang lebih hebat dari morfin.  Bila kita kawal fikiran dan emosi supaya relaks, otot pun relaks.

 

 

#4  KERAPKAN HUBUNGAN INTIM

 

Antara tips yang disarankan adalah bersama dengan suami untuk mempercepatkan proses bersalin.  Kesan perubahan hormon yang berlaku semasa bersama memberikan kesan kontraksi kepada ibu.

 

#5  DOA

 

Perkara yang tidak patut dilupakan adalah DOA dan ZIKIR.  Antara yang boleh diamalkan adalah

Allahumma yassir wala tu ‘ assir – Ya Allah, permudahkanlah dan jangan lah Kau sukarkan

Thummas sabiila yassarah – Kemudian jalannya dimudahkan (Surah Abasa : Ayat 20).

 

Semoga tips ini memberikan manfaat kepada ibu semua. Insya-Allah.