Sakit Pinggang Masa Hamil. Bahaya atau Tidak?.

Makin bertambah usia kandungan semakin parah rasa sakit badan.  Terutamanya bahagian belakang dan pinggang.  Kadang kala sampai tidak tertanggung hinggakan mahu bangkit dari baring pun terasa payah.  Perlukan bantuan dari suami atau menongkat pada katil.  Persoalannya adakah ia merbahaya untuk ibu hamil?.

 

Sebenarnya ketidakselesaan pada bahagian belakang sewaktu hamil adalah simptom biasa sewaktu hamil terutamanya sewaktu trimester kedua dan seterusnya.  Semakin besar kandungan, semakin terasa sakit.

 

Ada beberapa sebab ia terjadi.

 

1   Postur tubuh ibu telah berubah kerana menyeimbangkan pembesaran kandungan.  Jika perasan, ibu akan menarik postur badan kebelakang dan bahagian pelvik pula ke hadapan.  Ini menyebabkan otot tidak seimbang secara sepatutnya dan membawa kepada sakit belakang.

 

2   Kesan hormon yang dirembeskan untuk menyediakan ibu menghadapi proses bersalin menjadikan ligamen dan sendi menjadi lembut dan mudah flexible.  Tetapi, sekaligus menyebabkan ligamen dan sendi kurang berkesan untuk menyokong tulang belakang.  Kesannya tulang belakang tidak stabil dan menyakitkan.

 

Boleh Urut Tak?

 

Sebenarnya boelh berurut sewaktu hamil, tetapi pada pengurut yang pakar.  Jika mahu yang moden, ibu boleh mencari Kiroprator yang berdaftar.

 

Apa lagi cara untuk hilangkan sakit belakang?.

 

Selain berurut, ibu boleh mengambil perhatian atau cakna dengan perubahan yang bakal berlaku sewaktu hamil.  Biasakan diri untuk bersenam sebelum mula hamil dan diteruskan sehingga hamil.  Bersenam akan meningkatkan kekuatan otot dan kebolehlenturan tubuh.

 

Perlu diingatkan juga untuk menjaga postur tubuh apabila kandungan semakin membesar.  Duduk, berdiri dan baring pada postur tubuh yang betul supaya tidak memberi tekanan kepada tulang belakang ibu.

 

Apabila merasa sakit yang menyebabkan ibu sangat tidak selesa, ibu boleh menggunakan towel panas, atau hot pack pada tempat yang sakit selama 15 minit.  Ia boleh membantu melegakan sakit untuk sementara waktu.