Rukhsah Puasa: Ibu Bimbangkan Bayi Atau Diri Sendiri?

“Saya dalam dilemma.  Rasa macam tak larat nak puasa.  Tapi nanti apa pula kata orang”.

Nampak macam remeh.  Tapi sungguh banyak sungguh keluhan dari ibu hamil semasa berpuasa.  Sama ada bermasalah dengan pandangan orang atau tidak pasti keadaan diri sendiri sama ada boleh berbuka atau mesti berpuasa.  Apabila mengenangkan terpaksa mengganti puasa dengan jumlah hari yang sangat banyak dan berseorangan mengerjakannnya, buat hati ibu meronta-ronta mahukan penjelasan.

 

RUKHSAH PUASA.

 

Apa rukhsah puasa yang boleh diambil oleh ibu hamil?.

 

Bagi ibu hamil yang tidak berpuasa kerana bimbangkan kesihatan dirinya sendiri, boleh berbuka puasa dan hendaklah menggantinya semula mengikut kadar hari yang ditinggalkan.  Bagi ibu yang berbuka puasa kerana bimbangkan diri dan anak dalam kandungannya dibolehkan berbuka puasa dan perlu mengganti puasa mengikut kadar hari yang ditinggalkan beserta fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan.

 

BIMBANGKAN DIRI ATAU BIMBANGKAN KANDUNGAN?

 

Sudah dijelaskan rukhsah berpuasa timbul pula persoalan.  Diri sendiri tidak tahu atau ragu-ragu sama ada bimbangkan dirinya atau kandungan.  Mudah saja.  Jika anda ada masalah kesihatan yang memudaratkan diri, maksudnya itu anda bimbangkan diri sendiri.  Jika anda berbuka puasa kerana masalah pada bayi seperti jantung bayi perlahan, gerakan bayi berkurang, atau bayi bermasalah pembesaran dan disahkan oleh doktor, itu maksudnya anda bimbangkan bayi.

 

Walau bagaimanapun, cuba ibu perhatikan senarai masalah yang berikut.  Prof Imelda Balchin, Pakar Ginekologi mengupas dengan Panjang lebar berkenaan sebab dan musabab ibu hamil tidak boleh berpuasa dan diringkaskan kategori ibu hamil tidak sepatutnya berpuasa seperti berikut:

  • Tiga bulan pertama kehamilan (first trimester)
  • Ada risiko mendapat darah beku (venous thromboembolism, atau VTE)  yang sederhana atau tinggi
  • Ibu yang demam, tidak sihat atau muntah-muntah
  • Ibu yang mempunyai risiko tinggi pre-eclampsia, atau penyakit autoimmune, atau penyakit jantung.
  • Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis (type 1 diabetes, type 2 diabetes, atau GDM yang memerlukan rawatan metformin/ insulin)
  • Ibu yang janinnya dikenalpasti mempunyai masalah pembesaran
  • Ibu menyusu (ataupun tidak menyusu) di dalam masa berpantang. Kadangkala darah nifas hanya dua minggu, tetapi kepekatan darah adalah masih tinggi pada 6 minggu selepas bersalin.
  • Berpuasa pada musim panas dengan waktu siang yang lebih panjang di negara barat.

 

Daripada senarai yang di atas, ibu perlu mengambil perhatian dan bercakap dengan perawat masing-masing.  Usah malu menyatakan masalah anda.  Tidak berpuasa bukanlah perkara yang memalukan jika bersebab.  Kerana itulah Allah menyediakan rukhsah.  Ibadat semasa bulan Ramadhan seperti membaca al-quran, solat sunat dan lain-lain masih lagi dikurniakan pahala berlipat kali ganda, sama seperti orang lain yang berpuasa.

 

Tambahan pula, jika khuatir tentang masalah mengganti puasa, perlu diingatkan jika berpuasa 30 hari pun, bukanlah perlu berturut-turut.  Ada masa setahun untuk melangsaikannya.  Hanya perlukan semangat dan kekuatan.

 

Sekiranya ibu sangat sihat dan disahkan oleh doktor, lebih elok teruskan berpuasa bagi dan menikmati keberkatan bulan Ramadhan sepenuhnya.