Rambut Bayi Lebat dan Sihat. Nak tahu caranya?

tips rambut bayi lebat

 

“Alahai comelnya. Lelaki ke perempuan ni?. Rupa macam perempuan tapi rambut pendek”.

Pernah dengar dialog macam di atas?.

Memang sungguh rambut adalah mahkota biar pun bagi bayi dan kanak-kanak.  Kadangkala ia menjadi satu bahan untuk menentukan jantina kanak-kanak.  Sehinggakan ada ibu yang sanggup menindik telinga bayi untuk menunjukkan bayinya adalah perempuan dek akibat kepala bayi yang botak dan tidak tumbuh-tumbuh rambut.

 

Seawal umur 6 bulan umur bayi, rambut bayi berada dalam keadaan rehat. Rambut bayi sedia ada gugur dan menjadi separa botak. Selalunya di sebut cukur bantal. Namun, sebenarnya rambut bayi tersimpan di folikel  dan menunggu masa untuk tumbuh. Rambut bayi akan tumbuh dengan elok selepas 6 bulan.  Dalam Islam, dianjurkan mencukur rambut bayi seawal 7 hari kelahiran.  Jadi, jangan panik sekiranya anak anda lambat tumbuh rambut dan kekal dengan gaya botak sehinggan berumur 6 bulan.

 

Ada Tips Untuk Dapatkan Rambut Yang Sihat Untuk Bayi?

 

Ibu boleh cuba cara di bawah;

 

1/   Pastikan kulit kepala bayi bersih

Kulit kepala bayi hendaklah dibersihkan selalu. Bayi kerap berpeluh terutamanya di bahagian kepala. Jadi bersihkan dengan shampoo yang bersifat lembut dan sesuai dengan bayi.  Jika kulitnya berkerak, lumur dengan minyak kelapa atau minyak zaitun untuk melembutkan kerak di rambut sebelum mencucinya semasa mandi.

 

2/   Gunakan lendir lidah buaya (aloe vera)

Umum mengetahui khasiat lidah buaya pada rambut.  Boleh gunakan juga untuk bayi.  Dapatkan lendir lidah buaya dan hancurkan sehingga cair.  Sapukan lendiran lidah buaya pada bahagian tumbuh rambut anak anda.  Jangan lupa tutupkan kepala bayi dengan penutup kepala.  Biarkan kering dan kemudian bilas.

 

3/   Sapukan santan masak

Masakkan santan sehingga pecah minyak.  Sejukkan. Kemudian sapukan pada kepala anak.  Selain melebatkan rambut, cara ini juga elok untuk mendapatkan rambut yang hitam dan lembut.  Ia juga menyejukkan badan bayi.

 

4/   Ubah posisi tidur 

Adakalanya terdapat beberapa bahagian kepala bayi yang terlalu lambat untuk tumbuh rambut.  Ia menjadikan pertumbuhan rambut nampak tidak sekata dan nampak tidak cantik.  Biasanya di bahagian belakang kepala.  Cuba ubah posisi tidur bayi. Jangan biasakan bayi tidur pada satu posisi yang sama setiap masa.  Ubah pada posisi mengiring ke kiri, kanan atau pun meniarap.

 

5/   Pemakanan

Jika anak anda sudah makan, berikan makanan yang membantu pertumbuhan rambut.  Contohnya makanan yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin B12 dan B7 yang biasanya ada dari sumber telur, susu dan ayam.  Tambah juga sumber vitamin C, Omega-3, protein, vitamin E, Kalsium dan mineral.  Seandainya bayi masih menyusu, ibu perlu menjaga pemakanan dan banyakkan makan makanan yang memberi nutrisi kepada pertumbuhan rambut.

 

Selamat mencuba!.