Rahsiakan Kandungan. Perlu atau Tidak?

 

Perlu atau tidak rahsiakan kandungan?.  Bukanlah selama-lamanya sampai bersalin.  Tetapi paling tidak hingga melepasi trimester pertama kandungan.  Berahsia pula bukanlah tutup kedap sampai suami sendiri terpinga-pinga pula.  Maksud orang-orang tua rahsiakan kandungan ibu, maksudnya daripada orang luar yang tiada kaitan pertalian saudara yang rapat.  Contohnya sepupu, makcik, pakcik.  Cukup sekadar orang terhampir seperti ibu, ayah dan mertua.  Ada juga kes sehingga adik-beradik sendiri hanya tahu mengandung bila sudah nampak perut.  Tapi mengapa orang dahulu mahu rahsiakan?.

 

Lumrah zaman sekarang, suka bercerita di media sosial.  Waktu usia kandungan baru lagi, peramkan dulu berita tersebut.  Bukan apa, media sosial terlalu meluas dan ramai.  Lebih meluas berbanding waktu zaman nenek-nenek kita dahulu.  Jika dulu pun sudah diberi ingatan jangan kecoh, apatah lagi bila di media sosial.  Kadang-kadang kita tidak dapat tebak hati manusia.  Orang-orang tua tidak mahu ada yang mendoakan perkara buruk-buruk pada si ibu.  Itu antara perkara yang menjadi sebab kandungan dirahsiakan terlebih dahulu.

 

Kadar keguguran waktu trimester pertama antara 30-40% dan semakin rendah apabila usia kandungan makin matang.  Kesedihan keguguran bayi sangat menrentap jiwa ibu.  Antara hikmah apabila semakin sedikit orang mengetahui berita ibu telah hamil, makin sedikitlah orang yang akan bertanya tentang kandungan.  Cuba bayangkan jika sudah beratus orang yang tahu.  Dan apabila keguguran, hanya 10 orang yang tahu telah keguguran.  Bakinya akan bertanya-tanya tentang bayi yang dikandung.  Setiap kali ditanya, hati ibu sedih.  Bukankah yang sedikit itu lebih elok?.  Ya, bukanlah kita berfikiran negatif.  Namun adakalanya berfikir perkara terburuk untuk elak perkara lebih buruk berlaku pun ada juga kebaikannya.

 

Rahsia atau tidak, akhirnya terpulang kepada pasangan ibu bapa.  Ada juga telah disyaratkan di tempat kerja untuk melaporkan kepada pegawai atasan sekiranya hamil untuk menjaga keselamatan pekerja.  Contohnya pekerja yang berkaitan dengan x-ray, pekerja makmal atau berkaitan dengan kerja-kerja berat yang tidak sesuai untuk ibu mengandung.  Mahu atau tidak, ibu perlu akur dengan undang-undang pekerja.  Secara automatik, ramai juga rakan sekerja tahu berita kehamilan.  Jadi, pokok pangkalnya ibu dan ayah bayi itu sendiri.

 

Anda pula bagaimana?.  Berahsia atau tidak?.