Penjagaan Luka Caesarean. Penting Ibu Tahu 5 Perkara Ini.

caesar

 

Orang kata bila bersalin melalui pembedahan atau lebih dikenali sebagai caesarean ini mengerikan. 7 lapis kulit dipotong dan rahim ibu ditebuk untuk mengeluarkan bayi.  Ia adalah pembedahan major.  Sebenarnya penjagaannya lebih rumit berbanding bersalin normal.  Jangan pula katakan, bersalin secara caesarean tidak perlu berpantang. Paling penting untuk ibu bersalin caesarean memastikan luka pembedahan kering dengan elok dan pulih sepenuhnya.

Ibu bersalin caesar pastikan perkara di bawah:-

 

1  Bergerak

Sejak hari pertama bersalin, nurse akan galakkan ibu menggerakkan badan. Jika bangun duduk terasa susah, minta bantuan orang terdekat. Goyang-goyangkan kaki supaya darah dapat berjalan ke seluruh badan dengan elok termasuk ke bahagian luka.  Jangan keterlaluan.  Fahami diri anda sendiri

 

2 Penjagaan luka

Kadangkala bahagian luar luka pembedahan akan ditutup dengan plaster kalis air oleh doktor pembedahan.  Jadi anda tidak perlu takut untuk mandi dengan alasan takut luka pembedahan basah.  Jika tiada pun, boleh juga mandi seperti biasa cuma jangan kenakan sabun pada luka pembedahan itu.  Selepas mandi luka tadi perlu dibersihkan. Boleh gunakan cecair alkohol yang dibekalkan hospital.  Kemudian ia perlu dikeringkan dengan sempurna.  Gunakan tuala, kipas, pengering rambut, tisu atau apa sahaja asalkan kering.

Perhatikan luka agar tiada nanah, terbuka, berdarah, bengkak atau nampak kemerahan.  Ini tanda luka anda mengalami jangkitan.  Tanda serius bila anda mula demam atau seram sejuk.  Segera berjumpa dengan doktor.

Jangan sapukan minyak atau sapuan selain daripada yang dibekalkan doktor.

 

3 Makanan bernutrisi

Makanan bernutrisi penting untuk badan membaiki diri dan memulihkan luka.  Ambil sayur dan buah-buahan.  Pastikan ibu ambil protein setiap hari.  Pemilihan protein yang sesuai juga perlu.  Rasa kesesuaian dengan badan kerana ditakuti menyebabkan kegatalan.

 

4  Hindari aktiviti berat dan lasak

Usah angkat benda yang berat melebihi berat bayi anda.  Jangan juga lakukan aktiviti bersenam yang melibatkan abdomen sekurang-kurangnya 3 bulan.  Dapatkan saranan doktor sebelum melakukan senaman.  Jika anda batuk, atau mahu ketawa, anda perlu kawal gerakan abdomen anda.  Boleh gunakan bantal untuk menahan perut.

 

5  Postur badan

Cuba jaga postur badan agar tegak.  Terutamanya ketika menyusu sambil duduk.  Gunakan bantuan bantal menyusu untuk menyusukan bayi. Minta juga pertolongan orang terhampir untuk memegang dan menghulurkan bayi supaya kedudukan anda bersedia untuk menyusukan bayi.  Jika ibu sering membongkok dikhuatiri luka lambat pulih, dan pinggang anda kesakitan.