Nursery Ramadhan. Hadiah Buat Ibu Muda.

 

Menunaikan solat terawikh berjemaah lebih memberikan perasaan teruja, termasuklah untuk ibu yang mempunyai anak kecil.  Ada yang bertahun-tahun memendam rasa dengan hajat untuk menunaikan solat terawikh Bersama di masjid.  Apakan daya.  Bila bercerita ramai geng ibu-ibu veteran minta bersabar, dan tunggu anak sekolah nanti lebih mudah mahu ke masjid.

 

Sebenarnya dari satu sudut yang lain, membiasakan anak dengan suasana masjid sejak awal usia membantu menjadikan ia satu habit pada anak-anak.  Soalnya bagaimana mahu membawa anak ke masjid, anak dalam keadaan selamat dan gembira ibu bapa pula boleh mengerjakan solat terawikh dengan senang hati.

 

Tahukah ibu sebenarnya ada beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sewaktu solat tarawikh.   Inisiatif pihak masjid menyediakan perkhidmatan tersebut merupakan satu hadiah yang sangat berharga untuk ibu yang mahu mengerjakan terawikh berjemaah di masjid.

 

Nursery Ramadhan atau pusat jagaan kanak-kanak semasa terawikh ini selalunya percuma dan disediakan di sekitar Kawasan masjid.  Ibu bapa hanya perlu mengisi butiran anak dan menyediakan kelengkapan anak secukupnya kepada penjaga.

 

Had umur yang ditetapkan adalah sekitar 2 hingga 12 tahun.  Selalunya bayi yang masih menyusu badan tidak digalakkan ditinggalkan di nursery.  Ada juga masjid yang menghadkan waktu nursery hingga rakaat ke 8 terawikh.  Ibu bapa perlu mengambil semula anak masing-masing dan memberikan ruang pada petugas untuk bersolat terawikh pula.

 

Anak-anak yang diserahkan kepada petugas akan diberikan pengisian yang berfaedah seperti aktiviti mewarna, melukis, bacaan buku dan juga bacaan iqra.  Pengisian yang berfaedah bersama-sama kawan-kawan membuatkan anak-anak seronok dan teruja untuk hadir lagi ke masjid.

 

Masjid yang terkenal memberikan perkhidmatan nursery Ramadhan ini antaranya adalah

  • Masjid Al-Hasanah Bangi
  • Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya
  • Masjid Al-Mustaqim Bandar Seri Putra
  • Masjid Wilayah Persekutuan.

 

Kemungkinan besar tahun ini semakin banyak masjid yang memberikan perkhidmatan sedemikian.  Timbal baliknya semakin ramai yang mengimarahkan masjid di samping mendidik generasi yang terbiasa datang ke masjid.