Mandi Serom Ibu Berpantang. Amal dan Rasai Khasiatnya.

mandian serom

Ibu berpantang yang memilih untuk berpantang secara tradisional dan mengamalkannya dengan tertib sudah pasti merasakan khasiatnya. Ramai yang kata tidak akibat tidak berpantang dengan elok akan terasa sewaktu tua nanti.  Tapi sebenarnya, jika ibu terus mengamalkan amalan berpantang, ibu sendiri akan merasai kesannya serta merta.  Contohnya amalan mandi serom atau mandian herba berpantang.

 

Khasiat Mandi Serom

Mandian serom atau mandi herba sewaktu berpantang merupakan sejenis aromaterapi. Khasiatnya adalah:

 

#1 Kesegaran badan

Bauan dari tumbuh-tumbuhan memberikan rasa tenang dan segar.

 

#2 Memberikan keselesaan dan menghindar bau badan

Ibu berpantang dan bernifas banyak berpeluh terutamanya selepas berbengkung dan bertungku.  Sudah tentu air mandian membersihkan badan membuatkan ibu rasa lebih selesa.

 

#3 Melancarkan susu ibu

Apabila ibu tenang dan selesa, ibu akan rasa lebih sihat dan gembira.  Secara tidak langsung perjalanan darah menjadi lancer dan hormone oksitosin terhasil sekaligus merangsang penghasilan susu ibu.

 

#4 Menghaluskan kulit

Selalunya, ibu akan mandi bersama daun-daun yang direbus. Daun-daun akan digunakan untuk melurut dan melulur badan.  Kesannya badan ibu akan terasa halus dan bersih.

 

Cara menyediakan air mandian.

 

Ada pelbagai bahan untuk menyediakan air mandian serom ini.  Ada penjual yang menjual herba punjut yang telah siap untuk digunakan.  Walau bagaimanapun bagi ibu yang mahu menyediakan sendiri mandian serom, ini adalah antara daun-daun yang boleh digunakan untuk membuat air mandi.

 

  • Serai yang diketuk
  • Hirisan halia
  • Hirisan limau purut
  • Lengkuas
  • Halba
  • Daun pandan
  • Daun limau purut
  • Daun jambu batu
  • Daun serai wangi
  • Daun lengkuas
  • Daun senduduk
  • Daun inai
  • Daun pisang

 

Sekiranya tidak cukup bahan, memadai dengan apa yang ada. Semua bahan ini dibersihkan dan kemudian boleh dimasukkan dalam punjut kain atau boleh saja terus dimasukkan ke dalam periuk dan direbus bersama air.  Gunakan periuk yang besar.  Rebus sehingga air mendidih bertukar warna.  Campurkan air rebusan tadi dengan air pili supaya kehangatannya suam-suam kuku.

 

Ibu berpantang tidak boleh mandi terlalu kerap dan mandi terlalu lama. Memadai mandi dengan sebaldi air.  Waktu mandi pagi pula dalam waktu dhuha.  Jika mahu mandi waktu petang pula pada waktu asar.

 

Tatatertib mandi, sama sahaja dengan cara biasa.  Iaitu mulakan dari kaki kanan ke atas dan seterusnya kaki kiri ke atas.  Elakkan membasahkan kepala dengan air suam atau panas kerana ia mengundang sakit kepala dan juga keguguran rambut.  Gunakan daun-daun tadi terutamanya daun jambu batu sebagai lulur badan.

 

Ada pelbagai lagi cara dan bahan untuk mandian serom.  Cuba tanyakan orang-orang tua sudah tentu perkongsian dari mereka pun menarik.

 

Selamat mencuba!.