Berpantang Semasa Raya. Mesti Baca Tips Ini.

 

Kalau boleh tunda, memang nak tunda.  Tapi apakan daya, bila dah tiba masanya tak cepat dan tak lambat.  Anak yang dikandung mesti akan lahir jua.  Jika tarikhnya sehari sebelum raya, doktor pun tidak boleh suruh tunggu.  Ibu terimalah saja.  Yang pasti jika bersalin secara normal, boleh pulang ke rumah keesokan harinya untuk berhari raya tetapi tetap perlu berpantang.  Itu pun jika tiada sebarang komplikasi dan masalah kesihatan ibu dan anak.  Jika bersalin caesarean, nampaknya ibu dan anak serta bapanya sekali terpaksa berkampung di hospital lama sedikit.

 

Apabila sudah pulang ke rumah atau ke kampung untuk berhari raya sambil berpantang, keadaan menjadi mengharukan untuk ibu berpantang.  Jika orang lain syahdu terkenang masa lampau orang jauh di mata dekat di hati, ibu berpantang sudah tentu syahdu memandang juadah hari raya.  Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting lagi adalah kesihatan diri sendiri dan juga anak kecil baru lahir yang lemah sistem imunitinya.

 

Ellsee berkongsi tips untuk ibu renung dan amalkan apabila berpantang semasa berhari-raya.

 

#1 PENTINGKAN KESIHATAN

Kesihatan diri dan anak kecil terutamanya lebih penting semasa musim hari raya.  Ibu perlu jangkakan ramai sanak saudara akan berkunjung.  Sudah pasti kita tidak tahu sepenuhnya status kesihatan masing-masing.  Oleh itu, sangat penting untuk ibu berhati-hati di samping menjaga hati setiap individu.  Umpama menarik rambut dalam tepung.

 

Jika ada peluang, kurungkan diri sahaja bersama anak kecil di dalam bilik senyap-senyap.  Berpakat dengan suami atau ibu bapa.  Hanya yang terpilih dan benar-benar penting sahaja yang boleh bertemu ibu berpantang.

 

Penyakit selalu datang tanpa bau.  Keadaan kesihatan ibu yang masih belum mantap memudahkan ibu diserang penyakit.  Hatta selsema sekalipun sungguh memeritkan semasa awal-awal berpantang.

 

#2 USAH BIAR ANAK DICIUM ORANG

 

Biar lokek janji selamat.  Sebelum ini ada saja kes bayi kecil yang berjangkit penyakit.  Ada segelintir individu yang tidak cakna atau buat-buat lupa bahawa anak kecil baru lahir belum kuat sistem imuniti tubuhnya untuk melawan penyakit.  Jadi, sebagai ibu bapa, ambil jalan selamat.

 

Katakan saja anak meragam tidak mahu orang.  Atau kulit anak alergi, mudah naik merah ruam. Dengan harapan mereka faham.

 

#3 BERSABAR MELIHAT MAKANAN

Ada saja ibu berpantang lontar soalan.

“Kuih tat boleh makan tak?”

“Kuah kacang ni sedap nya.”

 

Bersabarlah ibu. Tidak lari juadah di kejar.  Lepas habis berpantang boleh makan raya sendiri berulang kali.  Ajak suami berlakon macam hari raya.

 

Bukan apa.  Jika sakit menyinggap, bentan dan sebagainya.  Susah juga hendak dilayan waktu cuti hari raya. Menangis lagi nanti.

 

Paling mudah, sewaktu orang ramai makan-makan, ibu pergilah menyorok, tutup mata dan hidung.  Ambil masa membelek anak kecil.  Atau pun, jika sudah tahu akan bersalin hampir dengan hari raya, ibu sediakan dulu juadah hari raya sebelum raya.  Ketupat, rendang, kuih raya dan apa yang terlintas.  Makan semasa hamil.  Takut kempunan katanya.

 

Itulah dia 3 tips yang Ellsee kongsikan untuk ibu yang bakal berpantang di hari raya nanti.  Semoga bermanfaat untuk ibu. Renung-renungkan dan selamat beramal.