Checklist Majlis Akikah Anak Lelaki dan Perempuan

akikah bayi

“Buat majlis akikah anak dah macam kenduri kahwin!”, tegur Pak Ngah.

 

Perkara biasa berlaku zaman sekarang. Niatnya bukan hendak menunjuk-nunjuk. Cuma ingin meraikan.  Tidak salah asalkan jangan membazir dan masih mematuhi syariat serta tidak menggalakkan berlakunya dosa. Nanti, tidak memadan pula niat baik dengan saham dosa yang akan diperolehi dan dihitung kelak.

 

Sebelum melakukannya, apa kata anda rujuk dulu checklist perkara penting tentang akikah:

 

#1 Hukum

 

Hukum melaksanakan akikah adalah sunat muakad (mendekati wajib).

Seorang anak terikat dengan akikahnya yang disembelih pada hari ke tujuh dan dicukur serta diberi nama.

 

Bagi anak perempuan, memadai dengan menyembelih seekor kambing atau satu bahagian haiwan. Manakala dua ekor kambing atau dua bahagian haiwan sembelihan.

 

#2 Maksud

 

Akikah maksudnya pertolongan. Juga membawa erti rambut bayi. Dari segi syariat pula, adalah memotong haiwan seperti kambing atau biri-biri atau lembu untuk bayi yang baru dilahirkan.

 

#3 Waktu untuk melakukannya

 

Imam Ahmad bin Hambal menyatakan, penyembelihan dilakukan pada hari ke 7, jika tidak dapat, maka pada hari ke 14, jika tidak, pada hari ke 21. Atau jika tidak juga, lakukanlah pada hari-hari lain yang mampu.

Rambut bayi baru lahir akan dicukur pada hari yang sama dan rambut tadi ditimbang dan dinilaikan dengan emas atau perak. Jumlahnya akan disedekah.

 

#4 Pengurusan haiwan dan daging akikah

 

Haiwan yang dipilih seperti berikut:-

a. Unta berumur 5-6 tahun

b. Lembu atau kerbau berumur 2-3 tahun

c. Kambing berumur 2 tahun atau sudah bersalin gigi

d. Kibash berumur 1 tahun atau bersalin gigi.

 

Disunatkan disedekahkan daging yang telah dimasak dengan masakan yang manis dan tidak pedas. Tulangnya pula tidak dipecahkan dan dipotong mengikut sendi-sendi sahaja.

 

Majlis Akikah

Biasanya bagi yang mampu dan mempunyai masa, majlis akikah akan diadakan. Ada yang dipanggil majlis berendoi, majlis cukur jambur, marhaban dan sebagainya.  Ini semua hanyalah tambahan. Ada juga yang memilih cara yang lebih ringkas seperti bekerjasama dengan pusat tahfiz atau pondok-pondok pengajian.  Kenduri akikah juga terus di buat bersama penghuni pusat pengajian tadi.

 

Walau apa pun pilihan ibu bapa, syariat perlu diutamakan. Janganlah hanya mengikut-ikut tanpa memahami maksud dan cara sebenar amalan dalam Islam dilakukan.

 

Wallahualam.