Adat Berpantang Orang Asli

adat berpantang orang asli

Berpantang selepas bersalin. Itu perkara biasa kita dengar. Tapi selalunya dalam ruang lingkup adat kita sendiri. Jika kita orang Melayu, amalannya begini. Pernah atau tidak kita tahu bagaimana kaum lain di Malaysia ini menjalani tempoh berpantang?.

 

Jangan pula terperanjat. Bukan orang Melayu sahaja yang amalkan berpantang lepas bersalin.  Kali ini La Mamma berkongsi tatacara orang Asli di Malaysia berpantang.  Ini bukanlah artikel berkaitan keagamaan atau kepercayaan. Hanyalah ilmu perbandingan adat dan tatacara sahaja agar kita lebih faham, yang mana adat, yang mana tuntutan dan boleh membuat keputusan rasional berkaitan kesihatan diri sendiri.

 

Adat Berpantang Selepas Bersalin bagi Orang Asli Malaysia

 

Penjagaan bermula daripada hamil lagi.  Antara pantang larang yang diamalkan semasa si ibu sedang hamil

 

#1 Suami tidak boleh menangkap ikan kerana dikhuatiri bayi yang dilahirkan itu nanti terlekat uri.

#2 Memancing ikan juga dilarang, takut-takut tali pusat bayi terputus semasa dilahirkan.

#3  Benda beruas seperti tebu atau buluh, mesti dipotong berhati-hati mengikut ruasnya supaya bayi tidak songsang dalam kandungan.

#4 Kenan dan sawan adalah perkara yang sangat dijaga. Kijang, ayam hutan dan ikan bersengat tidak boleh ditangkap. Ditakuti juga kandungan akan gugur.

Bersalin dan berpantang

 

Apabila telah cukup tempohnya, ibu ditempatkan di sebuah bilik khas (biasanya di bahagian dapur). Katil khas juga digunakan. Ibu akan baring di atas katil yang condong untuk memudahkan ibu bersalin.

 

Bidan akan dipanggil untuk membantu kelahiran. Suami dan saudara perempuan akan bersama-sama di dalam bilik khas ini untuk membantu dan memberi sokongan.  Bidan ini pula akan terus bersama-sama dengan ibu sehingga cukup tempoh berpantang sama ada selama tiga hari atau seminggu. Bidan ini lah yang akan menjaga dan mengurut ibu sepanjang tempoh berkenaan.

 

Selama tempoh berpantang, ibu, bidan dan suami akan sama-sama berpantang. Semua jenis makanan dari sumber haiwan dan juga garam tidak boleh dimakan.  Suami juga dilarang menyentuh bayi sepanjang tempoh berkenaan.

 

Bidan akan menyediakan batu tungku, param, air herba, mandian dan juga ubat bersalin. Kesemua bahan-bahan berkenaan daripada pucuk dan akar kayu yang khas untuk memulihkan luka bersalin, memulihkan tenaga dan mengecutkan peranakan. Antara pokok herba yang digunakan seperti ubi kunyit hitam, akar susu harimau, akar semeru gajah, dan minyak dari batang pokok kapur.

 

Selain daripada penjagaan ibu bersalin, bidan turut memainkan peranan dalam majlis meraikan bayi dan memberi nama kepada bayi.

 

Walaupun ibu hanya berpantang selama seminggu, pasangan suami isteri hanya boleh bersama apabila bidan mengesahkan ibu pulih sepenuhnya dari segi luka dan peranakannya elok mengecut.

 

Itulah dia sedikit sebanyak adat tradisional orang asli berkaitan kehamilan dan berpantang selepas bersalin.  Raikan perbezaan. Ambil yang elok dan tapis berpandukan kekuatan al-quran dan sunnah.

 

Kredit:

 

http://adatbudayapermata.blogspot.my/2009/03/adat-dan-budaya-orang-asli-siri-3.html

Ensiklopedia Perbidanan Melayu by Anisah Barakbah