5 Tips Luka Bersalin Cepat Sembuh

luka bersalin

Bersalin secara normal juga mengalami luka yang perlu dijaga. Biasanya disebabkan guntingan episiotomi atau pun koyakan terjadi tanpa dirancang.  Jarang sekali ibu sekarang melahirkan tanpa sebarang koyakan.  Jika ada, anda sangat bertuah kerana penjagaan dalam tempoh berpantang lebih mudah.

Ibu yang mengalami koyakan atau guntingan episiotomi perlu menjaga bahagian sulit dengan rapi dan seeloknya lebih cepat luka itu kering lebih bagus.  Jika dijahit, biasanya benang jahitan akan lupus dengan sendiri.  Jangan sampai jahitan semasa bersalin terbuka dan perlu dijahit semula atau terkena jangkitan.

 

Tips Penjagaan Luka Bersalin

 

1. Jangan renyah

Bergeraklah dengan berhati-hati. Kurangkan berjalan-jalan untuk tempoh 2 minggu pertama. Jaga letak duduk, jangan terlalu lasak.  Sebab itulah ibu berpantang lazimnya memakai kain batik. Antara lainnya supaya pergerakan menjadi terbatas

 

2. Membersihkan luka

Selepas mandi, keringkan luka dengan tisu atau tuala bersih.  Kemudian basahkan dengan ubat luka yang dibekalkan oleh klinik.  Ubat kuning boleh diminta di klinik atau hospital sekiranya anda kehabisan ubat kuning.  Gunakan dengan sewajarnya kerana ia memang untuk mengelakkan jangkitan.

 

3. Membuat rendaman sitz

Ibu boleh juga berendam atau duduk dalam besen berisi air suam dan garam.  Boleh juga menggunakan air rebusan asam keping, garam dan manjakani untuk  mengurangkan bengkak selain membersihkan luka serta vagina.

 

4. Tukar tuala wanita dengan kerap

Tukar tuala wanita dalam lingkungan 4 jam sekali. Keadaan yang kering lebih memudahkan luka bersalin tadi sembuh dengan cepat, selain untuk mengelakkan jangkitan

 

5. Makan makanan yang berkhasiat

Antara makanan yang membantu menyembuhkan luka adalah makanan yang mengandungi zink, protein dan vitamin C.  Walau pun sedang berpantang, jangan lupa untuk makan buah-buahan kerana ia diperlukan untuk penyembuhan luka bersalin anda.