5 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Sebelum Membeli Stroller.

Stroller pilihan

Gadget yang diperlukan oleh ibu bapa zaman kini ada pelbagai.  Salah satunya ialah stroller atau kereta sorong.  Ada yang beranggapan tidak perlu membeli stroller kerana hanya satu pembaziran. Anak-anak selalunya tidak mahu duduk diam dalam stroller dan menangis minta didukung.  Ada juga yang berfikir sebaliknya.  Walau apa pun tanggapan anda, di bawah ini adalah perkara yang anda perlu fikirkan apabila mahu memiliki stroller untuk kegunaan anak dan kemudahan anda sebagai ibu bapa. Jom baca.

#1 SAIZ

 

Kebanyakan ibu akan menjadikan saiz stroller pilihan yang kritikal. Sama ada dalam keadaan digunakan mahu pun penyimpanan. Saiz yang rangka yang kecil bersesuaian dengan rodanya lebih digemari ibu bapa.  Bukan sahaja kerana ia mudah untuk disimpan terutamanya di dalam bonet kereta, tetapi juga untuk mengendalikannya. Saiz stroller yang terlalu besar menjadikannya sukar untuk dikendalikan semasa melalui ruangan yang sempit contohnya di dalam pasaraya atau pun di antara meja makan di restoran.  Seandainya keluarga anda suka melancong, saiz yang kompak dan muat di dalam kabin kapal terbang merupakan bonus.

 

 

#2 MUDAH DIKENDALIKAN

 

Boleh ditutup hanya dengan satu tangan. Itu adalah faktor wow!. Terutama untuk ibu. Sebelah tangan mengendong anak dan sebelah lagi menutup stroller untuk disimpan.  Sekelip mata sudah selama disimpan di dalam bonet kereta. Itulah stroller idaman.

 

Faktor roda yang mudah berpusing juga memainkan peranan penting. Sudah tentu parah rasanya apabila terpaksa mengheret dan menarik stroller yang diduduki anak. Tidak selesa untuk anak dan juga ibu. Jadi, pemilihan stroller yang mempunyai roda boleh pusing 360 darjah sangat memudahkan dan harus menjadi pilihan.

 

 

#3 TEMPAT DUDUK BOLEH LARAS

 

Ada banyak kategori tempat duduk stroller.  Ada jenis yang boleh dilaraskan dalam bentuk baring sepenuhnya. Ada pula yang langsung tidak boleh dilaraskan.  Lazimnya, jika stroller dibeli untuk bayi yang baru lahir, majoriti ibu bapa lebih suka tempat duduk yang boleh dibaringkan. Berbanding untuk kanak-kanak lebih besar seperti 2-4 tahun.  Stroller jenis tiada larasan dan kekal dalam posisi duduk sudah memadai.

 

 

#4 PENDORONG BOLEH LARAS

 

Ada ibu bapa yang suka untuk membawa bayi di dalam stroller dengan memandang bayinya. Jadi, stroller dengan pendorong yang boleh diubah menghadap ke hadapan atau ke arah pendorong menjadi poin penting untuk dipertimbangkan.  Bagi stroller tiga roda, selalunya roda hadapan perlu ditanggalkan. Penting untuk anda memastikan kadar keselamatannya.

 

#5 MAMPU MILIK

 

Apa yang paling penting adalah bajet masing-masing.  Tentukan bajet melalui perbincangan suami dan isteri.  Boleh juga anda merancang bajet dengan membuat carian stroller di kedai online.  Setelah mendapatkan anggaran kasar jumlah wang yang ingin dibelanjakan untuk stroller idaman, anda masih perlu ‘test drive’ stroller itu sendiri di kedai.  Lebih elok bersama anak anda sekali.  Lazimnya, lebih banyak fungsi dan gaya stroller itu, lebih mahal hargnya.

 

Ada juga ibu bapa yang ingin menyelamatkan bajet dengan membeli stroller terpakai. Ia tidak salah.  Malah kadangkala jika kena rezekinya,anda mungkin dapat pembelian berbaloi.  Cuma, anda perlu pastikan ciri keselematan stroller terpakai itu masih berada pada tahap optima.